09 September 2011

Perkhidmatan Komuter KTM yang cemerlang


KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 penumpang mengalami saat mencemaskan apabila komuter yang mereka naiki tersasar daripada laluan sebenar sehingga terpaksa berundur semula secara perlahan-lahan sejauh enam kilometer yang mengambil masa lebih satu jam sebelum sampai ke stesen sepatutnya, semalam. 

Kejadian berlaku pada waktu puncak jam 6.20 petang apabila komuter yang sarat membawa penumpang dari stesen Bank Negara sepatutnya memasuki laluan ke Batu Caves, tetapi masuk ke laluan arah utara selepas Stesen Putra berdepan The Mall dan terus ke Kepong. 

Bagaimanapun, pemandu tiba-tiba menghentikan komuter berkenaan sebelum tiba ke stesen Rawang yang berada beberapa kilometer lagi dan mengundur secara perlahan-lahan setiap lima minit sebelum akhirnya sampai ke Stesen Batu Caves yang mengambil masa lebih satu jam. 

Seorang penumpang yang berada dalam tren berkenaan, berkata sebelum kejadian, komuter berkenaan mengalami kelewatan kira-kira setengah jam, menyebabkan penumpang yang kebanyakannya baru pulang dari pejabat semakin bertambah ramai. 

“Saya tidak dapat bayangkan betapa takutnya semua penumpang apabila komuter berkenaan berundur dan berhenti setiap lima minit. Apa yang paling kami takuti sekiranya ada komuter lain datang dari arah depan, pastinya berlaku kejadian tidak diingini yang boleh membahayakan keselamatan penumpang. 

“Semua penumpang hanya tertanya-tanya sesama sendiri dan gelisah dengan apa yang berlaku kerana tidak ada sebarang pengumuman dibuat oleh pemandu mengenai kejadian berkenaan,” katanya yang menghubungi Berita Harian, semalam. 

Sementara itu, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB, Mohd Fazil Ismail mengesahkan kejadian berkenaan yang berpunca daripada poin laluan dari arah stesen Putra ke Sentul terkunci, menyebabkan tren tidak dapat memasuki laluan ke arah Batu Caves, dipercayai akibat kerosakan pada alatan terbabit. 

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 6.20 petang dan terakhir berlaku jam 9.45 malam membabitkan lapan tren kesemuanya ke arah laluan yang sama.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...